‘Sinis kamu ibarat meludah ke langit’ – Razlan bidas Ahmad Fadhli

0
1
Datuk Razlan Rafii

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan kenyataan sinis Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaar terhadap desakan pemimpin Umno yang menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera, berunsur cemburu.

Beliau berkata, adalah lebih wajar sekiranya Ahmad Fadhli terlebih dahulu belajar bagaimana Umno berpolitik sebelum mengeluarkan kenyataan berbaur sinis berkenaan.

“Seeloknya pemimpin seperti ini belajar bagaimana Umno berpolitik, sinis kamu ibarat meludah ke langit, selesaikan dahulu isu Logo, mahu terkubur seperti di Melaka dan Johor, jawapannya adalah keikhlasan, kekalahan depan mata selagi bersama Bersatu,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Razlan berkata, kenyataan sinis yang dilemparkan pihak tertentu terhadap Umno tidak akan meninggalkan kesan kepada parti itu.

“Pelbagai cerita berlegar, pelbagai kemyataan, hasutan dan poster dicipta untuk melaga-lagakan kepimpinan Umno, namun ianya ibarat angin lalu.

“Dalam Umno, sekira langkah politik itu sumbang, ianya tidak akan kekal lama, ramai yang perhati dan setiap cerita itu, selalunya nampak gempak di luar namun didalam tiada apa selain matlamat kestabilan Negara,” katanya.

Menurutnya lagi, pembangkang selalu cemburu dengan ukhwah yang ada dalam Umno dan mereka cuba pelbagai cara untuk melemahkan parti itu.

 “Umno pula, demi rakan intrim, dilayan juga tanpa mahu menguris hati mereka, kerana Umno tahu, tiada yang akan kekal hubungan selain pemimpin yang setia bersama Parti,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli hari ini, menyindir pihak yang sering mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini, supaya berusaha lebih ‘kuat’.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Fadhli turut menzahirkan kelegaan kerana Perdana Menteri masih belum memberi jaminan bahawa PRU15 akan diadakan dalam tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli secara sinis mengucapkan ‘selamat mendesak’ kepada pihak terbabit yang dilihatnya bersungguh-sungguh mahukan PRU15 segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here