JUMLAH kerusi ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kekal seperti sebelum ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerusi yang ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diberikan semula kepada parti itu.
“Tan Sri Vicky, (Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran) kalau mahu lebih pun boleh.
“Saya ulang. Nak dapat lebih pun boleh tapi rundingan dengan Tok Mat (Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya ketika pelancaran Briged MIC Kebangsaan di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden MIC, Vigneswaran; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy.
Ahmad Zahid berkata, BN dan Perdana Menteri, akan memberikan pertimbangan terbaik kepada permintaan MIC.
Menurutnya, MIC akan terus bekerja keras untuk menentukan BN dominan semula dalam PRU15.
“Biar pun ramai parti pelbagai yang mewakili masyarakat India dan tujuh lagi parti politik yang memohon untuk menjadi ‘Friends of BN’.
“Namun MIC tetap menjadi parti teras yang mewakili masyarakat India di negara ini,” katanya. -Malaysiapost

