Kes culik: Polis Thailand edar gambar ejen kosmetik

0
1

POLIS Thailand bertindak mengedarkan gambar mangsa kes culik di Tumpat, Kelantan, ke 19 balai polis di Wilayah Narathiwat bagi membantu mengesan wanita itu.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Jeneral Wan Seman Wan Salleh, berkata gambar seorang suspek lelaki turut diedarkan dan usaha berkenaan dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand, lapor Bernama.

“Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita yang juga ejen kosmetik berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.

“Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya.

Wan Seman berkata, operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.

Beliau berkata, beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa.

“Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.

“Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya dan menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.

Dalam kejadian jam 5.10 petang Selasa lalu, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari  sama di Kampung Kuala Jambu.

Siasatan awal pihak polis mendapati suami mangsa dipercayai terbabit aktiviti penyeludupan dadah dan polis sudah menahan tiga individu, termasuk lelaki berkenaan dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here