PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkongsi kisah cintanya dengan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang bermula sejak zaman persekolahan lagi.
Ahli Parlimen Bera itu, mendedahkan ketika zaman bercinta mereka selalu ‘dating’ berdua di restoran makanan segera.
“Mengembalikan nostalgia zaman bercinta dulu. Saya dan Datin Sri bercinta sejak bersekolah, masa tu saya di Tingkatan 6 Atas dan Datin Sri di 6 Rendah.
“Tempat makan yang paling hebat sewaktu ‘dating’ ketika itu di ‘fast food’ restoran sahajalah. A&W, KFC, Texas Fried Chicken dan lain lain. Kalau ‘time’ saya ada duit lebih, nak ‘up’ sikit saya bawa dia ke Colliseum Cafe,” katanya yang mengimbau kenangan.
Imbauan itu selepas mereka berdua makan bersama setelah selesai program sambutan Hari Malaysia di Melaka malam tadi.
Menurut Ismail Sabri, mereka berdua singgah di Mc Donald’s Air Keroh Melaka dan teringatkan waktu muda dahulu.
“Kini kami dah jadi atuk dan nenek. Namun yang pasti kami masih tetap bercinta,” katanya.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata mendokan Perdana Menteri dan isteri sihat selalu serta bahagia bersama. – Malaysiapost

