Kerjasama Pas-Umno meliputi Bersatu, PN – Idris Ahmad

0
1

KERJASAMA dengan Umno meliputi kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), tegas Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata Pas bertekad untuk bekerjasama dengan semua parti Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Putrajaya.

“Kita (Pas) sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan semua parti Melayu Islam asalkan matlamatnya iaitu PH tidak akan berkuasa balik menawan Putrajaya,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 di Dataran Kompleks Islam, di Putrajaya, hari ini.

Idris turut menyangkal dakwaan yang menyifatkan Pas masih berdendam dengan PH kerana tidak dipelawa menyertai kerajaan campuran blok berkenaan.

Sebaliknya, menurutnya kerjasama dengan Bersatu dan Umno, serta BN patut mengambil iktibar daripada pemerintahan PH yang dilihat gagal dan perlu direnung secara mendalam.

“Kita harus melihat kembali dan belajar daripada kegagalan pemerintahan PH selama 22 bulan, termasuk tidak mampu menunaikan manifesto kepada rakyat.

“Pengajaran sepanjang tempoh PH memegang tampuk pentadbiran sebelum ini yang turut ditolak oleh rakyat, perlu dihayati,” katanya.

Dalam pada itu, Idris turut membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyifatkan Pas sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah.

Beliau menegaskan, Pas memang konsisten menentang rasuah dan tidak berkompromi dengan mana-mana pelaku.

Sebaliknya, Idris menyifatkan kenyataan Khalid seolah-olah menggambarkan Amanah ‘suci’ dengan menuding jari kepada PAS, sedangkan pemimpin PH turut berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Ditanya dakwaan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Pas kini adalah parti ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan Umno, Idris enggan memberi sebarang komen.

“Saya tidak mahu komen mengenai kenyataan Tun (Dr Mahathir). Jika ingin mendapatkan kenyataan lebih lanjut, boleh tanya Tun sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here