Tun M sukar jadi PM semula selagi belum langkah mayat Umno – Mohd Puad

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad sukar menjadi Perdana Menteri semula selagi belum langkah ‘mayat’ Umno, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya, untuk menjadi Perdana Menteri kembali Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terlebih dahulu.

“Dia juga perlu rakan kongsi seperti PKR, DAP, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Amanah.

“Sudikah mereka untuk ditipu kali kedua?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu yang mengakui masih ramai pihak yang mahu beliau mengemudi negara sekali lagi.

Mohd Puad juga mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu ingin menerajui negara lagi, walaupun seteru utamanya Datuk Seri Najib Razak sudah dipenjarakan.

“Siapa mereka yang ramai itu? Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Kadir Jasin (Datuk A Kadir Jasin) atau Siti Nurhaliza (Datuk Seri)? “Saya tak tolak, saya tak terima” kata Tun M. Maksudnya dia mahu lagilah tu.

“Kenapa nak jadi PM lagi? Mahu tebus dosa? Walaupun Najib berjaya dipenjarakan, Tun M sukar jadi PM semula selagi belum langkah mayat Umno.

“Nak tanya Kadir Jasin (wartawan veteran), apakah ini masalah psikiatri atau penasihatnya yang ada psikiatri? Semoga Tun M tidak diberi salah ubat kerana Covid-19,” sindirnya.

Terdahulu Dr Mahathir dalam sidang media sempena Konvensyen Pejuanita Malaysia, hari ini berkata, beliau bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin kembali menjadi Perdana Menteri.

“Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa. Saya tak tolak saya tak terima,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here