KERAJAAN komited menghapuskan jurang pembangunan dan dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion bagi Sarawak pada tahun ini dalam usaha menaik taraf infrastruktur di kedua-dua negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peruntukan itu bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.
“Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.
“Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara,” katanya ketika berucap sempena Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan di Banda Hilir, Melaka.
Ismail Sabri berkata, sebagai negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.
Katanya, tanggal 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan.
“Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya. – Malaysiapost

