10 Oktober pelancaran jentera pilihan raya PN Pahang

0
1
Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) Dutamas hari ini.

Ben Ibrahim

PELANCARAN rasmi Perikatan Nasional (Pahang) akan dilakukan pada 10 Oktober ini oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, jentera pilihan raya PN Pahang juga akan dilancarkan hari yang sama.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penetapan tarikh bagi pelancaran itu diputuskan selepas mesyuarat bersama pimpinan parti gabungan di Temerloh, petang tadi.

“Selain mesyuarat, kita juga sudah selesai mengadakan taklimat berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bersama semua pimpinan daripada PAS dan Gerakan.

“Pengagihan kerusi antara semua komponen dalam PN Pahang juga sudah selesai dan boleh dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Selain itu, mesyuarat hari ini juga sudah selesai melantik ketua bagi badan perhubungan kawasan parlimen di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saifuddin berkata, semua jentera di 14 parlimen di Pahang juga sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Dalam pada itu, PN Pahang bakal menggunakan slogan ‘PN Teraju Pahang’ sepanjang kempen PRU15 diadakan.

Slogan itu hampir sama dengan slogan ‘PAS Teraju Pahang’ digunakan PAS dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Saifuddin menjelaskan slogan itu adalah sebagai pembakar semangat semua jentera parti dalam PN dan menunjukkan kesediaan mereka untuk merampas kerajaan Pahang yang kini diterajui Umno.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here