AHLI Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani hari ini mengingatkan setiap para hakim dan peguam di Malaysia terhadap satu hadis Rasulullah.
Beliau berkongsi hadis tersebut menerusi satu hantaran di Facebooknya iaitu:
“Hakim (penentu keputusan) itu ada tiga, satu di surga dan dua di neraka. Yang di surga adalah Hakim yang tahu kebenaran lalu memberikan keputusan dengannya. Sedang hakim yang tahu kebenaran lalu zhalim dalam keputusannya, maka ia di neraka.
“Begitu pula, hakim yang memberi keputusan tanpa ilmu, ia di neraka” (HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”
Dalam pada itu Ahmad Dusuki berkata semasa beliau belajar di Universiti Al Azhar dahulu dalam bidang syariah dan undang undang, hadis tersebut sering diingatkan kepada pelajar.
“Sehingga ada ada pensyarah yang menyarankan kepada kami supaya jika tiada undang undang Islam di negara kalian yang dilaksanakan, maka sebaiknya tinggallah bidang kehakiman ini, dibimbangi akhirnya ke neraka jua sudahnya.
“Sampaikan salam saya kepada setiap hakim itu,” tulisnya.
Menerusi hantaran tersebut, beliau bagaimanapun tidak menyatakan kepada siapa hadis itu ditujukan.
Berdasarkan komen pengikutnya di Facebook, ramai yang mengaitkan ingatan tersebut berhubung kait dengan keputusan kes mahkamah melibatkannya semalam.
Semalam Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah dikemukakan beliau terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Saman fitnah itu berikutan kenyataan Mujahid di Twitter pada 22 November 2020 iaitu ‘Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa. Berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya’.
Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah membuat kenyataan itu selepas tersebar video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman turut mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos berjumlah RM11,000 kepada Mujahid. – Malaysiapost

