Beri ruang murid serlah bakat sukan – Radzi

0
1

MURID seharusnya diberikan ruang dan peluang yang luas untuk menonjolkan bakat dan kelebihan dalam usaha mencungkil potensi mereka, kata Datuk Dr Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan itu, berkata keadaan itu akan membolehkan murid yang kurang menyerlah akademik tetapi mempunyai bakat sukan akan merasakan diri mereka dihargai serta diraikan.

Katanya, situasi itu seterusnya menimbulkan rasa seronok untuk hadir ke sekolah setiap hari.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dengan menyediakan peluang bagi penyertaan dan pelibatan aktif murid dalam membentuk kemenjadian murid melalui sukan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw yang dilancarkan secara rasmi di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5(1), pagi tadi.

Katanya, program Pengukuhan Sepak Takraw itu merupakan sebahagian daripada Program Transformasi KPM dengan matlamat untuk memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw, termasuk di peringkat sekolah.

“Program ini bertujuan mengenalpasti bakat murid bawah umur 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

“Diharap program rintis untuk tahun 2022 ini akan menjadi platform pengukuhan program pembangunan sukan sepak takraw KPM pada masa akan datang

“Terima kasih dan tahniah kepada jawatankuasa program serta 10 orang mentor yang menjadi kumpulan penggerak utama bagi fasa pertama pencarian bakat melibatkan 1,200 murid daripada 150 sekolah di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here