Ben Ibrahim
JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menyerbu sebuah premis di Kampung Kempadang, dekat Kuantan kerana didapati menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi tanpa lesen.
Pengarah JKN Pahang, Datuk Dr Noor Azimi Yunus, berkata serbuan dilakukan jam 9 malam tadi hasil maklumat awam dan risikan.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan kakitangan dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta dan Unit Penguatkuasaan Pergigian negeri.
“Ketika serbuan, suspek seorang wanita berusia lingkungan 20-an sedang melakukan rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang pelanggan.
“Siasatan awal mendapati, suspek menawarkan perkhidmatan itu sejak tahun 2020 dan mengiklankan perkhidmatan disediakan melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Instagram,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Noor Azimi berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan Akta Pergigian 2018 (804).
Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau keduanya sekali.
“Kami menasihatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan pengamal pergigian sama ada mereka berdaftar atau tidak, sebelum melakukan rawatan.
“Semakan boleh dibuat melalui laman web www.dpims.moh.gov.my dan laman web www.medicalprac.moh.gov.my untuk memastikan premis atau klinik itu mempunyai lesen bagi melakukan rawatan,” katanya. – Malaysiapost

