PAS tidak bersedia untuk memasuki khemah besar Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu tidak percaya gabungan berkenaan mampu ‘mengubati’ penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam Barisan Nasional (BN).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata hal itu kerana, tokoh-tokoh yang sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh-tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah.
“Sejak awal lagi, PAS menolak untuk bersama PH apabila dijemput menyertainya PRU14 kerana PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.
“Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting,” katanya menerusi tulisan minda Presiden PAS, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, ia termasuk hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh, dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan BN.
“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat, walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN.
“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah,” katanya.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
“Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, PAS menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.
“Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik.
“Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat,” katanya.
Jelas Abdul Hadi lagi, pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada PAS mengenalinya secara lebih dekat dan terang lagi bersuluh.
“Betapa mereka cuba menghalang perjuangan Islam yang menjadi pegangan PAS yang wajib beristiqamah.
“PH yang berdegar-degar menentang rasuah dan salah laku, namun sewaktu mereka memerintah dan berkuasa terlalu lemah dalam menanganinya.
“.. kerana sikap pragmatik dan sekularnya menjadikan mereka lebih berkocak sesama sendiri. Hal ini disebabkan mereka lebih sibuk berebut jawatan Perdana Menteri dan lain-lain,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.
“PAS sentiasa memerhatikan sejak awal segala pendekatan PH yang tidak beradab terhadap jentera kerajaan dan rakyat sangat tidak sopan, melebihi kelemahan yang berlaku kepada BN yang menjadi sebab kejatuhannya.
“Maka, PAS menolak PH kerana kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh. Faktor itu menjadi sebab kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap siapa sahaja,” katanya. – Malaysiapost

