PENYANYI terkenal era 1980an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) sekitar jam 2 petang tadi.
Berita duka tersebut disahkan oleh Datuk DJ Dave yang merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).
Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, anak sulung Allahyarham, Hadzly memaklumkan bapanya dimasukkkan ke IJN sejak seminggu lalu.
Katanya, buat masa ini, jenazah bapanya masih berada di IJN dan akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras sebaik selesai dimandi dan dikafankan.
“InsyaAllah jika tiada aral jenazah ayah saya akan dikebumikan sebelum solat Maghrib,” katanya.
Aman Shah yang berusia 68 tahun pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan setiap kali sambutan Aidilfitri dan lagu Adikku Pandai Menari.
Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Darah Satria. – Malaysiapost

