PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu mengimbau kenangannya yang pernah dibuang daerah ke Kuala Pilah pada tahun 1984, ketika sesi bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di daerah itu, hari ini.
Beliau berkongsikan kenangan itu menerusi Facebook miliknya, selepas tamat program ‘Hit & Run Kuala Pilah’ yang diadakan pagi tadi.
Mohamad Sabu atau senang disapa Mat Sabu turut mengakui Kuala Pilah amat dekat dihatinya kerana perjuangannya dalam dunia politik bermula daripada daerah itu.
Beliau memberitahu pada usia 30 tahun, dirinya ditahan kali pertama di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan kemudian dibuang daerah di kawasan tersebut selama dua tahun.
“Hari ini di Kuala Pilah, sesi bertemu dan beramah mesra dengan rakyat. Alhamdulillah sambutan rakyat terhadap Amanah dan Pakatan Harapan sentiasa memberangsangkan.
“Kuala Pilah begitu dekat dihati kerana ia turut melakar sejarah yang mencorak perjuangan yang panjang dan berliku.
“Ketika usia 30 tahun, ditahan kali pertama di bawah ISA, dibuang daerah ke sini (1984-1986),” tulisnya. – Malaysiapost

