Pahang sedia RM47 juta hadapi banjir

0
1

Ben Ibrahim

KERAJAAN Pahang memperuntukkan RM47 juta bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia merangkumi persiapan aset dan barangan keperluan asas di pangkalan hadapan di seluruh Pahang.

“Jumlah peruntukan ini adalah bagi memastikan persiapan menghadapi banjir tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Sebenarnya, setiap tahun memang ada penambahbaikan dilakukan, tapi kita cuba memenuhi setiap permintaan dikemukakan pengerusi pusat kawalan operasi bencana (PKOB) daerah,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kerajaan Pahang kepada 15 pelajar Kolej Yayasan Pahang yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak sedang mengatur tarikh bagi mengadakan mesyuarat dengan semua pengerusi PKOB dalam masa terdekat.

“Mesyuarat itu nanti akan membabitkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keperluan utama apabila berlaku banjir.

“Macam permohonan daripada pengerusi PKOB di Lipis yang memerlukan tapak pendaratan helikopter, itu sudah disiapkan, untuk di Maran pula, mereka ada mohon pusat pemindahan sementara kekal dan ia juga sedang dalam proses pembinaan,” katanya lagi.

Proses perolehan aset tambahan seperti bot jenis amphibia juga sedang diuruskan pejabat kewangan negeri dan dijangka boleh diselesaikan tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here