KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk kosmetik berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate.
Menurutnya, susulan itu notifikasi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara kesan sampingannya adalah Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
“Betamethasone 17-Valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.
Justeru itu, Dr Noor Hisham mengingatkan penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan supaya menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta kerana penjualan atau pengedaran produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya. – Malaysiapost

