BOLEHKAH saya hutang kain kafan kamu ni? Demikiam pertanyaan seorang ibu kehilangan anak berusia tiga tahun ternyata membuat hati Yunizam Yusop atau lebih dikenali sebagai Abam Botak sangat sedih.
Perkongsian Abam Botak yang juga aktivis sosial menerusi hantaran Facebook kali ini menceritakan pengalaman membantu seorang wanita yang anaknya meninggal dunia di Hospital Sandakan, baru-baru ini.
Katanya, riak resah si ibu ketika berada dalam van jenazah sambil memangku jasad anaknya terjawab apabila wanita itu memberitahu tiada wang untuk membayar kain kafan.

“Tuan bolehkah saya hutang kain kafan kamu ni. Saya cuba meminjam dulu dengan bossku kalau dapat.
“Kalau tidak dapat hujung bulan la saya bayar dengan tuan, itupun kalau tuan percaya kami,” rayu wanita itu.
Wanita itu juga memberitahu bimbang jika perlu membayar kos van jenazah namun berasa lega apabila kenderaan yang tiba adalah milik Abam Botak.
“Aku berdoa dalam hati mudah-mudahan yang datang ini adalah van jenazah kamu.
“Kami tiada handphone sama sekali untuk hubungi kamu (Abam Botak) terus dan kami mengharap betul pegawai di bilik mayat untuk hubungi kamu. Syukurlah Allah memperkenankan doaku biarpun dalam hati saja,” ujar wanita itu lagi.
Menurut Abam Botak, kisah yang dialami wanita itu adalah salah satu penguat dirinya agar terus berbakti kepada masyarakat membantu menyediakan van jenazah percuma.
“Kawan-kawan kalaulah kita terus lemah melakukan kerja-kerja kebajikan ini. Bagimanakah dengan nasib orang seperti mereka ini dapat kita bela,” katanya.
Abam Botak dan rakan-rakannya bergiat aktif menerusi perkhidmatan van jenazah percuma dan menghantar pesakit dari golongan kurang mampu ke hospital sejak 2018, selain memberi makan kepada gelandangan. – Malaysiapost

