Ben Ibrahim
SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Pahang tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak awal tahun ini.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar ketika dihubungi di Kuantan, petang tadi.
“Sejak awal tahun 2022, semua tak dapat,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari malam tadi.
Rosli bagaimanapun menegaskan semua Adun PAS Pahang kekal bersemangat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing-masing walau tidak menerima sebarang peruntukan.
Ahmad Fadli melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya mendakwa Adun PAS di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang diterajui Umno.
“Tahniah juga kepada Adun-Adun PAS di Pahang yang masih terus bekerja dengan penuh komitmen sekalipun tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan Pahang,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan layanan diberikan kepada wakil rakyat Umno di negeri-negeri diterajui PAS.
Menurutnya, kerajaan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetap memberi layanan baik kepada Adun Umno, termasuk menyalurkan peruntukan dan memberi jawatan dalam Exco Kerajaan Negeri.
“Tahniah kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang terus menyalurkan peruntukan kepada Adun-Adun Umno sekalipun kerajaan tetap utuh tanpa sokongan Adun Umno.
“Tahniah juga kepada kerajaan Kedah yang terus mengekalkan kedudukan seorang Adun Umno dalam barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Dan seorang lagi sebagai Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sekalipun jika tanpa sokongan dua Adun tersebut, kerajaan Kedah tetap mempunyai majoriti,” sindirnya lagi.
Adun PAS di Pahang adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur), Andansura Rabu (Beserah), Tarmizi Yahya (Panching), Mohd Sufian Abdul Jalil (Luit), Mujiburahman Ishak (Chenor), Shahril Azman Abdul Halim (Jengka), Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Daud (Damak). – Malaysiapost

