Tun M imbau kenangan berjenaka dengan Ratu Elizabeth II

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Ratu Elizabeth II adalah contoh terbaik kepada mana-mana pemerintah yang bernaung di bawah kerajaan berperlembagaan.

Dr Mahathir menerusi ciapan di Twitter miliknya sebentar tadi turut menzahirkan rasa sedih di atas pemergian, Ratu Elizabeth II.

Katanya, pemergiannya itu bukan sahaja satu kehilangan buat Britain tetapi juga buat mereka yang percaya kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dr Mahathir turut berkongsikan pengalamannya bertemu dengan pemerintah paling lama bertakhta Great Britain itu sebelum ini.

“Saya telah beberapa kali bertemu dengan baginda ratu terutamanya ketika mesyuarat melibatkan negara-negara Komanwel.

“Saya teringat ketika baginda tertawa tentang ucapan berbaur jenaka yang saya ucapkan ketika di Zimbabwe.

“Di dalam jenaka itu saya ada berkata bahawa raja-raja Melayu dahulu digelar sebagai penguasa kepada kerajaan, akan tetapi mereka tidak mentadbirnya, sebaliknya dikawal oleh penasihat-penasihat British” katanya.

Tambahnya, ucapan tersebut telah disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC) ketika Ratu Elizabeth II itu menyambut jubli emasnya.

“Ratu pernah datang dua kali ke Malaysia ketika saya menjadi Perdana Menteri. Sekali ketika bersama-sama mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel dan sekali lagi ketika sukan komanwel berlangsung.
Ratu baginda sentiasa bermurah hati dan berbesar hati dapat melayannya.

“Namun saya tidak menyangka baginda ratu akan mangkat dalam masa terdekat memandangkan umur kami hanya berjarak setahun.

“Semoga baginda ratu berehat dengan tenang di sana,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here