SEORANG lelaki warga emas yang juga orang kena tangkap (OKT) meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata OKT berusia 62 tahun itu didapati berada dalam keadaan tidak sihat di lokap Balai Polis Jelapang.
“Suspek ditangkap pada Sabtu lalu mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Jalan Carey dan sedang ditahan sementara siasatan dijalankan.
“Kira-kira jam 9.02 pagi, OKT tersebut didapati tidak sihat sementara sedang menunggu untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk menjalani pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, polis menghubungi hospital dan OKT itu dihantar ke HRPB dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
“Susulan itu kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan bedah siasat ke atas mayat dijadualkan esok,” katanya. – Malaysiapost

