KABINET meluluskan cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menaikkan kadar bantuan seunit bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM)
Kenaikan itu sekali gus bakal memberikan manfaat kepada lebih 10,000 kontraktor G1 dalam projek rumah PRKM yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kenaikan itu akan membantu kontraktor PRKM menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek kerana tiada margin keuntungan kerja yang dilaksanakan.
“Kenaikan ini juga bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung pihak kontraktor yang merupakan isu meruncing, terutama sejak Mei 2022 lalu berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Kita berharap kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu,” katanya selepas Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA di ibu negara hari ini.
Jelas Mahdzir, harga baharu bagi projek Bina Baharu PRKM dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM66,000 seunit di Semenanjung.
Manakala katanya, bagi Wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan dinaikkan daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit.
Bagi projek Baik Pulih rumah PRKM pula, dinaikkan pada kadar maksimum RM15,000 di Semenanjung.
Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadar maksimumnya adalah RM17,000.
Sebelum ini kadar program Baik Pulih rumah PRKM di Semenanjung adalah RM13 ribu dan RM15 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
KPLB sebelum ini meluluskan permohonan Bina Baharu rumah PRKM sebanyak 2,153 dan Baik Pulih sebanyak 11,892 rumah.
“Keputusan ini diambil sebagai langkah proaktif Kerajaan bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat,” katanya.
Tambah Mahdzir, kenaikan nilai bantuan itu juga akan membolehkan kira-kira 13,000 unit rumah PRKM dapat dilaksanakan di seluruh negara.
Ia sekaligus akan memberi manfaat kepada lebih 70,000 isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah tersebut.
Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir menyampaikan replika kunci rumah PRKM yang telah siap dibina kepada 10 penerima bantuan perumahan itu.
Turut disampaikan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet Padi Musim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA. – Malaysiapost

