Sah, DAP bakal tubuh cawangan Parit

0
1

DAP telah mengorak langkah bagi menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila bakal menubuh cawangannya di kawasan berkenaan. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan parti itu akan menubuhkan cawangan di Parit di Perak Tengah. 

Malah katanya, DAP Cawangan Parit akan diketuai orang Melayu memandangkan semua ahlinya adalah kaum berkenaan.

“Ya saya pun ada dengar ini (tubuh DAP cawangan Parit). Di peringkat DAP Perak memang ada usaha itu untuk menambah cawangan. Saya difahamkan cawangan itu (Cawangan Parit) terdiri daripada semua ahli-ahli melayu.

“Ya, sudah tentu (diketuai Melayu), sebab itu cawangan semua ahli-ahli Melayu yang menyertai atau menubuhkan cawangan baru tersebut,” katanya dipetik Utusan Online. 

Ditanya bila cawangan tersebut ditubuhkan, Anthony menjelaskan, perkara itu ditentukan oleh kepemimpinan DAP Perak.

“Terpulang kepada pihak kepimpinan DAP Perak untuk mengusahakan tersebut, prosesnya biasalah seperti proses biasa.

“Peringkat negeri kena proseskan permohonan tersebut, selepas itu dihantar ke Ibu Pejabat untuk kelulusan sebelum dihantar ke RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), proses itu biasa untuk semua cawangan,” katanya.

Sementara itu, Anthony menegaskan, DAP belum memuktamadkan sama ada akan meletakan calon di kawasan Felda kerana perkara itu masih di peringkat rundingan dalaman parti itu. 

“Kita belum tentukan lagi sebab kerusi mana yang kita tandingi masih dalam peringkat perundingan. Kita bukannya tunggu nak bertanding di kawasan itu baru kita tubuh cawangan.

“Cawangan boleh ditubuhkan di kawasan mana-mana malah di kawasan kita tak bertanding pun kita ada cawangan, soal mana satu kerusi yang kita tanding itu, kita masih dalam proses rundingan dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan DAP Perak dikatakan dalam proses untuk menubuhkan cawangan parti itu di Parit, kawasan Parlimen yang majoritinya pengundi Melayu.

Difahamkan, lebih daripada 300 orang mengambil borang keahlian dan setakat ini lebih 200 borang telah dikembalikan untuk menyertai parti itu dan semua yang memohon keahlian itu merupakan orang Melayu.

“Jika semuanya berjalan mengikut jadual, cawangan DAP Parit mungkin akan dirasmikan pada 15 September ini. Cawangan Parit akan menjadi cawangan pertama DAP di Parit dan Perak Tengah.

“Ahlinya semua Melayu. Setakat ini penggeraknya belum ada kerana tiada lagi jawatan secara rasmi dan belum dimaklumkan kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan),” katanya. 

Untuk rekod, Parlimen Parit adalah satu-satunya Parlimen di Perak yang  kesemua DUN dibawahnya disapu bersih BN pada  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. 

BN mengekalkan kerusi Parlimen Parit dan dua DUN iaitu Belanja dan Bota. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here