Dana RM90 juta: Modal politik basi diperbaharui PH

0
1
Kredit: Harakah Daily

PAS menyifatkan isu RM90 juta yang kini  ditimbulkan semula hanya modal politik basi yang diperbaharui semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta dari Umno sengaja dibangkitkan semula pemimpin Pakatan Harapan (PH) meskipun tiada bukti yang menunjukkan PAS menerima habuan sebanyak itu. 

“Realitinya, isu RM90 juta ini tidak lebih daripada wayang opera lama yang ditayang semula. Dalam bahasa lain, ia tulang lama yang sudah lama terperap di tempat pembuangan sampah. 

“Hanya haiwan tertentu sahaja yang menyelongkar sampah mencari tulang lama,” katanya di Facebook, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Ahmad Fadhli menegaskan, Peguam Negara ketika zaman pemerintahan tidak pernah menyenaraikan PAS menerima dana daripada skandal 1MDB.

“Pada 19 Julai 2018 ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, peguam negara ialah Thommy Thomas, saya bangun bertanya di Dewan Rakyat, mencelah ucapan YB Damansara yang pada masa itu sedang menyenaraikan pihak-pihak yang mendapat wang dari 1MDB. Soalan saya, mana nama PAS? 

“Jawapan beliau ialah saya tiada maklumat, sila tanya Menteri Kewangan (yang pada masa itu ialah YB Lim Guan Eng),” katanya yang turut menyertakan pautan berkenaan perkara itu pada hantaran Facebooknya. 

Kemudian, Ahmad Fadhli berkata, pada 2 April 2019, beliau sekali lagi bertanya di Dewan Rakyat berhubung isu RM90 juta dan dijawab oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Hanipa Maidin. 

“Jawapannya, masih dalam siasatan SPRM. Bahkan beliau berpesan bahawa jangan ada sebarang spekulasi. 

“Belum lagi ucapan-ucapan perbahasan saya di Dewan Rakyat yang mendesak sejak tahun 2018 agar kerajaan dedahkan segera siapa penerima dana RM90 juta itu. Alih-alih yang keluar ialah kenyataan SPRM bahawa tiada wang 1MDB masuk ke akaun PAS,” katanya. 

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga turut mempersoalkan kenapa PH tidak menyiasat isu berkenaan hingga ke lubang cacing ketika berkuasa menjadi tampuk pemerintahan negara. 

“Semua kenyataan-kenyataan itu keluar ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. 

” Jika benar ada dana RM90 juta disalurkan kepada PAS, kenapa semasa pentadbiran PH isu tidak disiasat sehingga ke akar umbi? 

“Yang ada ialah sekeping kertas berwarna hitam yang terpaksa ditilik berkali-kali oleh pembacanya di tengah malam kelam,” katanya. 

Mengenai penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah PAS terhadap Clare Rewcastle-Brown, Ahmad Fadhli menegaskan, keputusan itu adalah hak plaintif yang menyaman PAS. 

“Isu penyelesaian saman luar mahkamah ialah hak kepada si penyaman. Dalam kes saman, jika pihak plaintif merasakan bahawa tiada keperluan untuk saman diteruskan berdasarkan kepada kos dan sebab-sebab kesihatan, ia boleh ditarik balik dan itu tidak membuktikan bahawa plaintif atau defendan bersalah.

“Adapun yang berkuasa di dalam negara, kenapa tidak teruskan dengan pendakwaan sivil?” katanya. 

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam kenyataannya membidas PAS yang cuba mengalih perhatian skandal rasuah yang melibatkan parti itu dengan menggunakan retorik kaum dan agama. 

Turut dibangkitkan Steven Sim ialah isu dana RM90 juta kononnya pemberian Umno kepada PAS. 

Selain menyenaraikan beberapa isu berkaitan rasuah melibatkan PAS, Stevin Sim turut mengingatkan parti itu yang kononnya suci daripada rasuah, namun masih memberi sokongan dan toleransi mereka kepada pemimpin dan sekutu politik mereka yang rasuah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here