5 lagi wakil rakyat akan sertai PBM selepas Parlimen bubar

0
2

TIGA Ahli Parlimen dan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bakal menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu didedahkan Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang berkata, kelima-lima wakil rakyat tersebut bakal menjadi pertaruhan parti itu pada PRU15.

Menurut Zuraida, parti tersebut akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ampang itu enggan mendedahkan siapa tiga ahli Parlimen dan dua ADUN yang akan menyertai parti tersebut.

“InsyaAllah, saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN. Kesemua kerusi itu adalah melibatkan calon incumbent.

“Ketika ini PBM ada empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (Ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

“Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN iaitu tiga dari Perak dan dua dari Selangor. Jadi akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Zuraida memberitahu, PBM kini memiliki lebih 40,000 ahli dari 177 bahagian yang telah didaftarkan setakat ini.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum mereka, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, PBM juga mempunyai kepimpinan daripada golongan tua dan muda sekali gus menjadi faktor yang menguatkan parti tersebut.

“Walaupun masih baharu tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here