TIDAK ramai mengiktiraf usaha dan penat lelah pejuang barisan hadapan ekonomi, bukan sahaja di Kementerian Kewangan (MOF), malah agensi lain, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu berkata, berikutan itu beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘Weathering The Economic Storm: A Journey through the Unchanted Waters of Covid-19 yang juga buku sulungnya bagi menceritakan tentang perjuangan tersebut.
“Banyak yang telah dicerakinkan mengenai pejuang barisan hadapan kesihatan awam kita.
“Bagaimanapun, setakat ini, tidak ramai mengiktiraf usaha dan penat lelah pejuang barisan hadapan ekonomi, bukan sahaja di MOF, malah di pelbagai kementerian dan agensi lain seperti Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Mereka inilah yang bertanggungjawab memastikan ‘bahtera ekonomi’ negara terus bertahan walau kuat dipukul ombak dan badai pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, dasar ekonomi oleh MOF berteraskan pendekatan Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis, dengan kerjasama berbagai kementerian dan agensi berkaitan, akhirnya telah membantu Malaysia merekodkan pertumbuhan KDNK selama tiga suku ekonomi berturut-turut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli ke Majlis Pelancaran Buku Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of Covid-19.
Turut mencemar duli adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. – Malaysiapost

