WALAUPUN baru menginjak usia enam tahun, Bersatu telah memberi sumbangan besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi catatan di Facebooknya sempena ulang tahun keenam penubuhan Bersatu semalam, Muhyiddin berkata mereka telah berjuang melawan kleptokrasi, selain mewujudkan pemerintahan berintegriti dan bebas rasuah.
Selain itu katanya, kepimpinan serta ahli parti tersebut telah melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan ia berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhan parti.
“Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya. Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana termaktub dalam perlembagaannya, maka BERSATU akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti.
“Ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial.
“Selain itu menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum.
“Memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Muhyiddin, ia adalah prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu.
Semua prinsip itu katanya, mestilah diamal dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu sekali gus membezakan mereka dengan yang lain.
“Ahli Bersatu juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik murni supaya parti kita dihormati semua.
“Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti,” katanya. – Malaysiapost

