AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mahu PAS mendedahkan dengan siapa sebenarnya parti itu berunding dalam usahanya bekerjasama dengan Umno.
Menurut Isham, ini kerana PAS dalam penjelasannya dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) semalam, memaklumkan tiada rundingan rasmi dibuat berhubung perkara itu dengan kepimpinan tertinggi Umno.
“PAS beritahu Muhyiddin (Yassin) tiada rundingan rasmi dengan Umno dan rundingan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti.
“Habis tu selama ini kamu berunding dengan siapa? Cuba beritahu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata tiada rundingan rasmi dibuat antara PAS dan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan pemimpin PAS dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam.
Muhyiddin berkata, perbincangan antara dua parti itu didakwa dibuat secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti.
“Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah Umno membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU15.
“PAS juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam Perikatan Nasional,” katanya. – Malaysiapost

