Kenaikan OPR: Bubar Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi – Guan Eng

0
1

LANGKAH kerajaan membenarkan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan kali ketiga sepanjang tahun ini membuktikan kegagalan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Justeru, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan pasukan khas diketuai Tan Sri Annuar Musa itu yang disifatkan tidak berkesan menangani inflasi.

Memetik kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kenaikan OPR disebabkan tekanan inflasi, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, perkara itu pada dasarnya menafikan dakwaan Annuar bahawa inflasi dalam keadaan terkawal.

“Inflasi dilihat oleh BNM sebagai masih cukup serius untuk mewajarkan kenaikan OPR walaupun terdapat risiko yang wujud dalam mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan usaha pemulihan Covid-19 bagi separuh kedua tahun ini dan meningkatkan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

“BNM secara tidak langsung mengetepikan usaha anti-inflasi Annuar sebagai tidak memberi sebarang kesan dengan indeks harga pengguna meningkat sebanyak 4.4% pada Julai, berbanding 3.4% pada Jun 2022, bulan pertama Annuar dilantik sebagai pengerusi (pasukan khas itu).

“Memandangkan BNM kini bergantung kepada pendekatan monetari dengan menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi, maka tidak ada keperluan dan kepentingan untuk mengekalkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan turut memberi pandangan bahawa pasukan khas itu akan menjadi lebih berkesan sekiranya Ismail Sabri sendiri mempengerusikannya.

Semalam, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kadar kali ketiga berturut-turut dibuat bank pusat itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here