KEMUNCULAN dua pelangi indah hari ini di atas Istana Britain dikatakan membawa simbolik ‘selamat tinggal’ kepada pemergian Ratu Elizabeth II.
Dua pelangi dikatakan muncul di atas Istana Buckingham dan satu di Istana Windsor semalam, memetik laporan Daily Mail.
Laporan itu berkata, dua pelangi itu muncul ketika orang ramai berkumpul menantikan berita mengenai Ratu Elizabeth II dari luar pagar istana.
Lebih mengejutkan dua pelangi itu muncul tepat di atas tugu peringatan Victoria.
Susulan itu, banyak kata-kata orang ramai yang mendakwa kedatangan dua set pelangi itu adalah ‘simbolik’ dari ‘Ratu Elizabeth II bersama Prince Philip’.
Difahamkan, orang ramai telah berkumpul di kediaman Ratu Elizabeth II selepas Istana Buckingham menjelaskan keadaan kesihatan baginda yang semakin membimbangkan.
Terdahulu, Ratu Elizabeth II, yang paling lama bertakhta di dunia, iaitu selama tujuh dekad, meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Turut dimaklumkan 10 hari untuk berkabung serta penghormatan terhadap pemerintahannya yang memecahkan rekod.
Sementara itu, Putera sulung dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles, hari ini dinobatkan sebagai Raja Charles III.
Putera tertua kepada Ratu Elizabeth II itu secara automatik naik takhta sebagai raja Britain dan ketua negara bagi 14 kerajaan lain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand. – Malaysiapost

