DUA lelaki ditahan selepas lapan jam mereka melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Damansara, Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek dikesan menyamun kedai serbaneka pada 5 pagi di daerah ini dan suspek berjaya melarikan wang tunai hasil jualan berjumlah RM800 serta 14 kotak rokok.
“Dua suspek terbabit masuk ke dalam kedai dan mengugut seorang pekerja dengan pisau untuk menyerahkan wang tunai serta rokok dan jumlah kerugian RM1,043 dan suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Polis menyerbu sebuah unit pangsapuri di Damansara pada jam 1.30 tengah hari tadi dan menahan seorang suspek.
“Hasil soal siasat ke atas suspek pertama, kita berjaya tahan suspek kedua di sebuah rumah juga di Damansara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, dalam dua serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan yang disamun dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian.
Katanya, polis turut merampas motosikal, wang tunai RM1,520 selain pisau dan telefon bimbit.
“Polis percaya dengan penahanan suspek, tiga kes samun berkawan kedai serbaneka di sekitar daerah ini berjaya diselesaikan.
“Semua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk dadah sejak 2012 hingga tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan tanpa senjata api.
“Pihah polis juga akan mendapatkan perintah reman suspek di Mahkamah Majistret esok,” katanya. – Malaysiapost

