DATUK Zaid Ibrahim kesal dengan kenyataan dari bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengenai kuasa pengampunan tidak diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan tanpa nasihat Lembaga Pengampunan
Bekas peguam Datuk Seri Najib Razak itu berkata, isu mengenai pengampunan ini telah diputarbelitkan dan lebih mengecewakan apabila pihak yang lebih mengetahui Perlembagaan Persekutuan ini iaitu peguam yang melakukan tindakan sedemikian.
“Sekali lagi saya terpaksa menjawab bekas peguam Negara, Tommy Thomas.. hari ini dia berkempen di satu portal mengenai keampunan dari Duli Yang Maha Mulia di-Pertuan Agong.
“Isu keampunan ini telah diputarbelitkan oleh banyak pihak.. yang malang sekali diputarbelitkan oleh peguam-peguam yang sepatutnya mengetahui prinsip sebenar.
“Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan itu memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengampun kesalahan yang berlaku di Wilayah dan kepada Raja-raja Melayu di setiap negeri yang lain.
“Jadi, janganlah kita membuat ‘precedent’ (duluan) untuk membuat Tuanku merasa tertekan atau dibuat rasa bersalah kerana unsur-unsur yang dibangkitkan oleh peguam yang karut, unsur-unsur politik yang karut,” katanya menerusi video yang disiarkan di Facebook.
Zaid berkata, sepatutnya semua pihak harus memelihara kesucian hak prerogatif belas kasihan yang tinggi pada Raja-raja.
“Kita mesti pertahankan prinsip ini. Kita jangan sekali menggadai hak Raja-raja melayu untuk membuat pengampunan.
“Kuasa pengampunan yang diberikan kepada Agong dan Raja-raja Melayu oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu yang diterima secara universal, iaitu, hak prerogatif belas kasihan yang tinggi.
“Kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan oleh perlembagaan ini bukan tertakluk kepada keputusan mahkamah, berapa lama kes itu berjalan, tidak tertakluk kepada pandangan saudara dan saya, tidak tertakluk kepada pendapat ramai.
“Ia tertakluk kepada rasa pandangan peribadi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Tambahnya, Agong tidak menjadi hakim apabila melaksanakan hak prerogatif baginda.
“Baginda tidak perlu meneliti kes itu dari segi perundangan.
Kalaulah baginda kena ikut kes-kes mahkamah untuk membuat keputusan, maka tak perlulah kuasa ini. Tak perlulah ‘high prerogative of mercy’. Mansuhkanlah saja.
“Baginda perlu mengkaji semua aspek keadilan sebelum membuat keputusan. Apakah kepincangan sudah berlaku dalam sistem kita, apakah ada sebab-sebab tertentu yang perlu digunakan pengampunan baginda,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Thomas mencadangkan, bawah Perlembagaan Persekutuan, Agong tidak diberi kuasa untuk mempertimbangkan pengampunan tanpa nasihat Lembaga Pengampunan.
Beliau juga telah mendakwa bahawa pengampunan untuk Najib adalah ‘mustahil’ atas ‘sebab undang-undang’. – Malaysiapost

