Rundingan hanya sah jika diputuskan parti – Ismail Sabri

0
1

RUNDINGAN kerjasama antara Umno dan Pas hanya boleh disahkan jika ia diputuskan oleh parti, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Perdana Menteri, menegaskan sebarang rundingan perlu dilaksanakan secara rasmi dan diputuskan oleh Umno.

“Jika ada rundingan atau perbincangan, kita tidak boleh sekat. Sesiapa saja boleh berjumpa dengan rakan daripada Pas atau parti lain.

“Namun, rundingan hanya boleh jadi sah dan menjadi dasar parti jika ia diputuskan oleh parti, yang mana Umno putuskan siapa wakil sah untuk berunding dan sebagainya.

“Jika sendiri-sendiri, ia tidak dianggap mewakili parti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2022 (MIHAS 2022), di ibu negara, hari ini.

Terdahulu seorang pemimpin Pas mendakwa, wujud rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam Umno dan Pas menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, dilaporkan berkata partinya mahu Umno tahu bahawa musuh utama pada PRU-15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini juga mengesahkan wujud rundingan itu, namun enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam Umno perbincangan itu berlaku.

Takiyuddin mendakwa pemimpin yang terbabit ‘mempunyai jawatan’ dan berkeupayaan ‘mempengaruhi keputusan’ pucuk pimpinan Umno.

Beberapa kepimpinan Umno termasuk Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan parti itu berpendirian untuk bertanding secara solo di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRU-15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here