Aplikasi Grab kini boleh rakam audio

0
1

GRAB Malaysia bakal merintis AudioProtect (beta) iaitu ciri keselamatan baharu untuk pengguna terpilih di Pulau Pinang dan Johor, mulai bulan depan.

Dalam satu kenyataan Grab memaklumkan, ciri berkenaan akan memberi pilihan kepada pemandu dan penumpang untuk merakam audio semasa perjalanan sebaik sahaja ia diaktifkan dalam Tetapan Keselamatan.

Selain itu, ciri berkenaan akan membantu mempercepatkan dan menyelesaikan sebarang insiden yang dilaporkan kepada syarikat.

“Pengguna akan digesa untuk menggunakan ciri tersebut apabila mereka menempah perjalanan. Mereka juga boleh mengaktifkan ciri dalam Tetapan Keselamatan di bawah Akaun Saya (My Account),” menurut kenyataan itu

Dalam halaman Bantuan (Help), Grab menjelaskan, setiap perjalanan hanya akan direkodkan apabila kedua-dua pihak iaitu pemandu dan penumpang telah mengaktifkan ciri tersebut.

“Rakaman akan bermula dari saat pemandu tiba untuk mengambil penumpang dan tamat apabila perjalanan selesai.

“Fail rakaman akan disimpan dalam peranti pengguna sehingga 10 hari dan akan dipadamkan untuk mengosongkan ruang storan jika tiada insiden keselamatan dilaporkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Bagaimanapun, Grab menjelaskan, pengguna tidak boleh mendengar atau mengakses rakaman pada peranti mereka atas sebab privasi.

Jelasnya, fail itu akan disulitkan dan hanya boleh diakses oleh kakitangan yang diberi kuasa oleh Grab, pegawai penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa kerajaan untuk tujuan penyiasatan sekiranya insiden keselamatan dilaporkan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here