Isu anak dianiaya bapa bukan isu kecil – Zulkifli Mohamad

0
2
dr zulkifli

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menegaskan isu seorang anak yang dianiayai bapanya dari sudut seksual dan emosi bukanlah sesuatu yang kecil.

Menurutnya, maka sebelum membangkitkan isu tentang aib, perkara lebih penting untuk di muhasabah adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah.

Beliau berkata, respon dan tindakan ibu bapa akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi anak sama ada masalah itu dipendam dan anak terus merana, atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi.

“Saya tidak pasti kebenarannya kerana satu-satunya kaedah untuk mensahihkannya adalah muka pengadilan.

“Tindakan untuk melaporkan ke balai polis adalah amat wajar dan paling utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan mengulas mengenai pendedahan dibuat oleh seorang pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun baru-baru ini yang mendakwa dicabul bapa kandungnya.

Zulkifli berkata, selain itu masyarakat juga perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati kerana tugas menghukum hanya terletak di bahu pihak berkuasa.

“Apabila berlaku konflik kekeluargaan seperti yang tular baru-baru ini, itulah saat terbaik masyarakat untuk kembali memuhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga masing-masing.

“Dari sinilah baru kita belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti,” katanya.

Menurutnya, sistem sokongan seperti itu tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna dan benar-benar memainkan peranannya.

“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan kita. Di samping itu, sebagai muslim kita yakin Allah Maha Adil lagi Bijaksana.

“Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here