POLIS sedang mengesan seorang pemandu myvi yang dilapor menghalang serta meludah kenderaan seorang wanita di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 26 tahun pada 2.30 petang tadi.
Katanya, mangsa yang juga memandu kereta Perodua Myvi dihalang kenderaan terbabit di persimpangan berkenaan
“Lelaki berusia 20-an dikatakan mengekori dan memotong kenderaan mangsa serta memberhentikan kenderaan secara mengejut.
“Suspek yang juga tidak dikenali oleh mangsa turun dari kenderaan sambil memarahi wanita terbabit sebelum meludah pada kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, pihak polis sudah merakam keterangan mangsa.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang dipandunya.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian ini, justeru kita perlu merakam keterangan suspek untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya. – Malaysiapost

