Kenapa nak fokus pada kami? – Bros Gang TV

0
1

PIHAK yang menemu bual pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendedahkan dakwaan perbuatan jenayah bapa kandungnya, tampil menjelaskan bahawa tindakan dilakukan adalah atas dasar hak asasi kemanusiaan.

YouTuber Bros Gang TV, menjelaskan pihaknya tidak memaksa pelakon remaja terbabit untuk menceritakan mengenai pengalaman hidupnya sehingga video itu tular, baru-baru ini.

“Kami turut terkejut dengan apa yang berlaku.

“Apa yang kami buat sekarang ialah atas dasar human rights. Berapa ramai kanak kanak yang menjadi mangsa di luar sana? Kenapa nak fokus pada kami?” soalnya dalam satu hantaran di Instagram (IG) malam tadi.

Hantaran itu dibuat bagi menjawab kenyataan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia Datuk Dr Raj Karim yang menyatakan tindakan YouTuber berkenaan adalah suatu bentuk eksploitasi seksual dan perlu diambil tindakan.

Dr Raj berkata, pihak berkenaan tidak mempunyai hak untuk menyiarkan pendedahan remaja itu kerana tindakan yang didakwa dilakukan bapa pelakon terbabit adalah suatu bentuk perbuatan jenayah.

Menurut Bros Gang TV, ibu dan pelakon berkenaan ditanya banyak kali berhubung pendedahan itu, selain pihaknya juga mendapat izin daripada mereka untuk menyiarkan temu bual berkenaan.

Katanya, pelakon terbabit sendiri memberitahu dia sudah tidak tahan dalam memendam perasaan setelah bertahun lamanya.

“Walaubagaimanapun, pihak polis telah membuat siasatan. Selebihnya kita berdoa.

“Ingat, setiap apa yang berlaku ada hikmah. Tuhan kenalkan kami pun salah satu hikmah untuk menyuarakan apa yang dialaminya.

Menurut Bros Gang TV, dalam keadaan sebegini semua pihak sepatutnya memberikan semangat kepada pelakon terbabit untuk terus kuat dan cekal dalam kehidupannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam satu kenyataan semalam mengesahkan, pihaknya menerima laporan dibuat remaja berusia 15 tahun.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah.

Wan Azlan berkata, kes berkenaan berlaku semasa mangsa berusia enam tahun dan tinggal di kawasan Subang Jaya dan suspek melakukan gangguan seksual terhadap mangsa apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui talian o3-78627100 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616.

“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here