TLDM usir 13 bot nelayan asing

0
1

KAPAL Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim berjaya mengekang 13 bot nelayan asing dari memasuki perairan negara berhampiran Pulau Perak, Kedah jam 5.50 petang semalam.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Operasi Armada (POA) Barat menerima maklumat berhubung pengesanan 13 bot nelayan asing berkenaan di kedudukan 65 batu nautika tenggara pulau itu.

Menurutnya, bot-bot berkenaan dikesan melalui Pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dimaklumkan kepada Control Reporting Center (CRC) Kuantan sebelum disalurkan kepada komponen maritim bagi tindakan lanjut.

“Bertindak menerusi maklumat disalurkan, KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan keberadaan 13 bot nelayan asing itu di kedudukan berkenaan.

“KD Laksamana Hang Nadim kemudiannya melaksanakan tindakan pengusiran semua bot asing itu sehingga ia keluar meninggalkan perairan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut TLDM, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi maritim negara dalam mematahkan tindakan melanggar undang-undang atau menceroboh kedaulatan perairan negara.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sehubungan itu, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here