TIDAK adil dan tidak wajar untuk hanya mengaitkan Umno sahaja dengan korupsi sedangkan ramai di kalangan pemimpin parti lain juga terpalit rasuah, tegas Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, banyak contoh pemimpin-pemimpin parti lain yang terpalit dengan isu rasuah termasuk ada yang sedang didakwa di mahkamah.
“Persoalannya, apakah adil apabila beberapa pemimpin terpalit maka dihukum seluruh parti?
“Jika itu perkiraannya maka semua parti juga dianggap korup kerana ada pemimpin yang terpalit dengan rasuah,” katanya dalam satu komen di laman Facebooknya.
Asyraf turut menyenaraikan beberapa isu rasuah membabitkan pemimpin parti lain antaranya; pemimpin DAP, Lim Guan Eng didakwa kes rasuah banglo, tapi ditarik balik oleh Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas) lantikan Pakatan Harapan (PH).
“Ramai lagi pemimpin PH yang ‘disucikan’ oleh Tommy waktu PH naik jadi kerajaan 22 bulan.
“Bersatu paling banyak menerima pemimpin yang ‘disucikan’ walaupun sudah dipalitkan dengan jenayah rasuah. Terbaru dakwaan saksi dalam mahkamah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tunai jutaan ringgit daripada UKSB.
“Ramai juga yang lompat masuk Bersatu sebab takut didakwa seperti bekas-bekas pemimpin PKR,” katanya.
Turut disenaraikannya adalah pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang walaupun dalam usia muda menjadi Menteri, didakwa rasuah dan salah guna kuasa RM1.2 juta duit parti.
“Ramai pemimpin PKR yang didakwa rasuah tapi terlepas waktu PH naik. Bahkan yang mula hendak didakwa apabila PN memerintah seperti bekas Menteri Datuk Dr Xavier Jayakumar terlepas selepas lompat ke Bersatu.
“Bekas Setiausaha Agung PAS sendiri didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan rasuah,” demikian sebahagian contoh diberikan Asyraf Wajdi. – Malaysiapost

