Annuar Musa ada agenda peribadi mahu Umno-Pas bekerjasama – Ibrahim Ali

0
1

KALAU Tan Sri Annuar Musa adalah Presiden Umno pasti kerjasama ini menjadi kenyataan, dakwa Datuk Dr Ibrahim Ali.

Presiden parti Putra itu berkata demikian merujuk berkenaan beberapa pemimpin Umno termasuk Annuar yang bersungguh-sungguh mahu Umno dan PAS bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya rasa nak tergelak dan menggeleng kepala apabila ditanya pandangan mengenai kenyataan Annuar Musa, ahli umno dan beberapa pemimpin PAS sewaktu berlangsung Muktamar Pas berkenaan isu kerjasama Umno dan PAS.

“Bersungguh benar nampaknya kehendak mereka agar Umno dan PAS menjalin kerjasama untuk menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibrahim turut mendedahkan, Annuar mempunyai muslihat ada udang di sebalik batu iaitu untuk mencipta keselesaan kepadanya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU15.

Justeru, Ibrahim berkata, tidak hairanlah Annuar menyeru partinya agar bersikap positif dan terbuka agar kerjasama Umno dan PAS akan menjadi realiti.

“Kalau Annuar Musa adalah Presiden Umno pasti kerjasama ini menjadi kenyataan dan selamatlah kursi Parlimen Ketereh untuknya.

“Sebelum ini Parlimen Ketereh dimenangi Annuar yang bertanding atas tiket BN tapi kemenangannya tipis dan cukup makan saja.

“Kalau ada kerjasama dengan PAS, bergayalah Annuar Musa kerana PAS tidak akan meletakkan calon di Parlimen Ketereh.

“Inilah sebenarnya yang tersirat dalam agenda politik Annuar Musa. Tapi tiga negeri terus menjadi milik PAS kalau pihak ketiga tidak dapat mengalahkan PAS di tiga negeri tersebut,” katanya.

Menjelaskan mengenainya, Ibrahim berkata, Umno sudah berpatah arang berkerat rotan dengan PAS yang telah menjalinkan kerjasama dengan musuhnya, Bersatu.

“Apakah niat sebenar mereka ini, walhal Umno dengan jelas, nyata dan terang tidak lagi mahu menerima PAS untuk tidur sekatil kerana PAS sudah menjadi penyedap kepada Bersatu.

“Mana mungkin bagi Umno boleh berkongsi hidup dengan PAS yang suka mengorat dan berkhalwat politik sana sini dan tidak ada kesetian, kecuali untuk sedap sebelah pihak,” katanya.

Pada masa sama, Ibrahim membidas sikap PAS yang masih menyimpan perasaan terhadap Umno kerana mahu mengelakkan hilang penguasaan di tiga negeri yang mereka kuasai sekarang.

“Bagi PAS pula nampak punggung tertonggeng bila berdentum-dentum nak kerjasama dengan Umno sehingga sedia berunding ke hari akhir sebelum penamaan calun.

“Ianya jelas jika berlaku kerjasama PAS dan Umno atas nama MN, maka pada perhitungan PAS selamatlah tiga negeri yang mereka kuasai sekarang, iaitu Kelantan Terengganu dan Kedah. Kursi-kursi yg dikuasai PAS pasti kekal jika Pas bertanding,” katanya.

Ibrahim turut menyifatkan penyatuan ummah yang digembar-gembur PAS adalah slogan politik hipokrit yang mempunyai agenda tersendiri.

“PAS sudah hilang locus standi atau tidak ada integriti dan moral untuk bercakap soal penyatuan ummah atau perpaduan ummah.

“Untuk menyalak dan memekik bagi tujuan menunjuk-nunjuk kepada umat Islam mereka berjuang demi Islam hanya sekadar mainan politik hipokrit. Umat Islam tidak lupa dengan mainan hipokrasi politik PAS.

“Dulu bersama Pakatan Rakyat. Berpeluk dan bergulung lidah dengan DAP. PAS kempen undi DAP kafir lebih baik dari undi Umno. Mana boleh pengat pisang dicampur dengan tahi. Rakyat dah tahu siapa tahi sebenarnya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here