Kuasa hukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

0
1

Ben Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Titah baginda, jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu tercemar.

“Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan di hari kemudian.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu (telah) ternoda,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Kompleks bernilai RM44.75 juta itu siap dibina sepenuhnya pada 23 September tahun lalu.

Titahnya lagi, prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

Berpandukan prinsip sama, Mahkamah Syariah juga harus bijak menggunakan kuasa budi bicara dan berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman, terutama membabitkan kes kekeluargaan.

“Maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

“Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.

“Hakim-hakim Syarie hendaklah memastikan kes dikendalikan dapat dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here