PASUKAN Dodgeball lelaki negara muncul juara selepas memenangi 10-5 ke atas Australia di Kejohanan Dodgeball Dunia 2022, di Kanada hari ini.
Kemenangan itu sekaligus mengulangi pencapaian edisi 2017 dan 2018.
Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk Radha Krishnan berkata, kejayaan yang diraih skuad dodgeball lelaki ini adalah satu penghormatan besar buat Malaysia kerana baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia.
Katanya, sebagai Presiden MAD, beliau sangat berbangga dengan pencapaian pasukan yang berjaya mengatasi beberapa pasukan terbaik dunia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan jurulatih di atas kerja keras mereka bagi mempersiapkan pasukan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ISN (Institut Sukan Negara), Berjaya Corporation, Black Box dan semua penaja lain atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pasukan campuran meraih tempat kedua selepas tewas 3-7 kepada Kanada manakala pasukan wanita menamatkan saingan di kedudukan ke-4.
“Biarpun MAD meletakkan sasaran untuk meraih dua emas tetapi pencapaian meraih satu emas dan satu perak, kami tetap berterima kasih kepada pasukan,” katanya. – Malaysiapost

