Anthony Loke tak gentar hadapi KJ di Seremban

0
2

PERSAINGAN di kerusi Parlimen Seremban akan menjadi sengit sekiranya Khairy Jamaluddin menerima pelawaan Pemuda Umno Seremban untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Keadaan itu diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook yang berpendapat ia akan menjadi antara kerusi yang paling ‘panas’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“KJ (Khairy Jamaluddin) merupakan tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu merupakan lawan yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

“Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini amatlah sengit dan akan menjadi antara kerusi yang paling ‘panas’ dalam PRU-15,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta oleh pihak media untuk memberi komen berkenaan cadangan oleh Pemuda Umno Seremban meminta Khairy untuk bertanding di Parlimen Seremban dalam PRU-15.

Setiausaha Agung DAP itu bagaimanapun menegaskan adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan.

“Namun begitu, sebagai pemimpin DAP saya tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik.

“Saya tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU-15 walaupun berhadapan dengan KJ atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan,” katanya.

Beliau mahu rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada beliau terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat.

Semalam, Khairy yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak tiga penggal lalu, menyatakan pendirian untuk berlapang dada memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di kerusi disandangnya.

Katanya, sebagai Ketua Umno Bahagian Rembau, Mohamad berhak untuk menentukan dirinya bertanding di kerusi Parlimen Rembau dan sebagai timbalannya beliau akan akur jika itu yang berlaku.

Khairy bagaimanapun mengakui belum membuat persediaan atau mengintai kerusi Parlimen lain yang berpotensi untuk beliau tandingi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here