SEBUAH pusat hiburan di Genting Highlands diserbu dan sembilan wanita warga asing berusia 25 hingga 36 tahun ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata serbuan jam 11.50 malam kelmarin itu susulan maklumat daripada orang awam.

“Dalam serbuan dan pemeriksaan sebuah bilik karaoke didapati sembilan wanita warga asing berusia antara 25 hingga 36 tahun sedang leka berhibur sambil minum minuman keras.
“Polis menemui tiga peket lutsinar berisi ketulan serbuk kristal disyaki dadah ketamin anggaran berat 2.25 gram dan dua peket plastik dipercayai dadah syabu seberat 22.75 gram yang jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM750,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui satu beg plastik mengandungi 16 kondom dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati lapan daripada suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini hingga 16 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) akta sama,” katanya.
Zaiham memberi amaran keras bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah mahupun jenayah di daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas. – Malaysiapost

