Datuk Nur Jazlan Mohamed
(Rumusan siri 1: MN dan Muktamar Pas ke-68)
SEJAK 2017 lagi Pas mendabik dada kononnya mereka lah ‘King Maker’ dalam landskap politik Malaysia.
Pas cuba jadi jaguh dengan menjadi pencatur politik negara. Mula-mula mereka dilihat bersama Datuk Seri Najib Razak semasa Barisan Nasional (BN) memerintah negara dan siap dapat wang ihsan lagi.
Tapi bila BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pas mula menjalin persahabatan dengan Umno pula atas agenda perpaduan ummah sebab sama-sama pembangkang semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Bila berlakunya Langkah Sheraton yang turut melibatkan Pas dan Bersatu jadi ketua kerajaan, Pas mula jalinkan hubungan pula dengan Bersatu di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika itulah Pas mula dimewahkan dengan ganjaran pangkat, kuasa dan jawatan oleh Muhyiddin. Ahli-ahli Parlimen Pas diberikan jawatan menteri dan timbalan. Presiden Pas pula dikurniakan jawatan Duta Khas bertaraf menteri.
Ahli akar umbi Pas tetap tak dapat apa-apa dan duduk tatang tin Milo cari sumbangan tapi tetap taksub serta walak kepada pemimpin dan Majlis Syura. Keluhan dan rintihan pendokong PAS terus dipendam.
Dengan limpahan kesenangan duniawi, pemimpin Pas menjadi semakin lupa. Muhyiddin bijak memanjakan Pas supaya Pas leka sehingga mengabaikan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).
Muhyiddin cuba menghasut Pas supaya pujuk Umno sertai PN atas tujuan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan dia sebagai Perdana Menteri (PM).
Banyak kali juga Pas cuba pujuk Umno. Pas ceritakan macam mana bagusnya kalau Umno sertai PN, boleh kuatkan perpaduan Melayu dan Islam. Pas pujuk Umno supaya bersama Bersatu dalam PN kononnya Muhyiddin ikhlas nak satu Melayu.
Tapi Umno tak mudah terpedaya dengan pujuk rayu Pas dan permainan licik Muhyiddin yang pernah khianati parti yang pernah mengangkat beliau sebagai pemimpin besar sebelum ini.
Sebaliknya, Umno pula beri kata dua kepada Pas; pilih bersama Umno tapi putus dengan PN atau teruskan hubungan bersama PN tapi tinggalkan Umno.
Mula-mula Pas yakin, putus hubungan dengan Umno pun tak apalah, asalkan mereka masih dapat duduk di kerusi empuk di Putrajaya dan makan-makan angin sebagai Duta Khas di Pantai Timur.
Tapi lama-lama Pas rasakan pasangannya dalam PN iaitu Bersatu rupanya tak sebaik yang disangka dan banyak tipu helah yang digunakan untuk memperkudakan mereka demi kepentingan politik Muhyiddin serta konco-konconya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga mula sedar sedikit bahawa Muhyiddin hanya pandai beli jiwa dan sembang kencang padahal dia sendiri cukup lemah sehingga terpaksa letak jawatan sebagai PM selepas gagal memimpin negara dan PN.
Pas bersama PN gagal dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN), malah prestasi mereka lebih teruk berbanding PRU-14. Pas yang sudah sedar Bersatu sudah tak kuat mula rasa tersepit dan mencongak nasib mereka pada PRU-15 nanti.
Dan sudah menjadi perangai buruk Pas sejak dulu, bila saja mereka mula terdesak dan hilang punca, Pas akan jaja semula cerita perpaduan ummah. Mengajak orang Melayu Islam bersatu kembali atas nama bangsa dan agama.
Cerita rumah tangga, kahwin cerai dan talak Pas
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam temuramah dengan siaran Youtube rancangan Feng Ren Guan seperti dilaporkan Harakahdaily pada 1 September lalu berkata, gabungan MN antara Pas dan Umno masih wujud dan kedua-dua parti tidak mahu dibubarkan dan dia menjelaskan partinya adalah jambatan penyatuan ummah.
Kerana katanya, jika Melayu sebagai komuniti rakyat yang majoriti ini berpecah, maka negara dan kaum minoriti juga tidak akan stabil seperti mana keadaannya bagi sebuah keluarga.
Kalau mak ayah duk bergaduh, walaupun anak-anak itu baik, rumah tangga tak akan tenang. Amankan dulu, keluarga ini. Jadi dalam konteks besar kita, kita orang Melayu ini perlu duduk bersama dulu.
Untuk sekian kalinya Pas ulang lagi perangai lama. Mereka mula ratib semula kerjasama dan hubungan dengan Umno dalam MN. Mereka kata MN belum berkubur dan Pas mahu terus jalinkan hubungan politik dengan Umno.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri ketika dipetik media Jumaat lalu berkata, hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat.
Katanya, kini Umno perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak-tanduk dan sikap Pas sendiri.
Jelas Ahmad Zahid, tak perlu sedu-sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam.
Walaupun Umno sudah ceraikan Pas talak tiga dalam MN, tapi parti Islam itu terus melalut masih mahu bersama Umno lagi.
Tapi memang puak-puak Pas ini jenis tak reti bahasa ataupun pekak badak. Sudah banyak kali Umno sama ada Presiden ke, pucuk pimpinan atas dan bawah, atau perwakilan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah putuskan untuk tak nak lagi bersama Pas dan MN, tapi mereka tetap nak juga. Jenis muka tak tahu malu kot.
Tuan Ibrahim pula bercakap pasal keluarga dan anak-anak dalam MN tapi sebenarnya Pas sekarang ini hidup sebagai ‘Janda Expired’ sebatang kara serta hanya harapkan ihsan Bersatu untuk menumpang kasih selepas mereka beberapa bercerai atau diceraikan oleh pasangan.
Jadi saya rasa Pas tak perlulah nak bercakap pasal kekeluargaan sebab mereka sendiri tak tahu jaga hubungan dan keharmonian rumahtangga sampai bercerai berai, talak mentalak dan bercina buta.
Pas baru tahu sebelum ini mereka sangka mereka King Maker tapi sekarang ini status mereka sudah bertukar; jadi Janda Expired yang terabai.
Mereka mula hilang punca untuk cari pasangan baru kerana semua parti utama dalam negara ini sudah ‘kawin & cerai’ selepas gagal dapat apa yang mereka mahukan.
Bila sudah tak laku dan kena reject sana sini, Pas mula meroyan dan bercakap benda bukan-bukan.
Timbalan Presiden Pas juga kata, Umno kembali jadi kerajaan hari ini selepas kalah PRU-14 kerana hasil pengorbanan Bersatu yang meninggalkan PH.
Saya nak cakap sikit kat Tuan Ibrahim, Bersatu berjaya jadi kerajaan kerana ramai katak-katak Umno lompat masuk parti itu sebab mereka takut kena dakwa selesa BN kalah. Umno terlebih dulu jadi mangsa korban politik bekas Ahli-ahli Parlimen Umno yang pengecut dan tinggalkan parti sebab nak jaga tengkuk sendiri.
Jadi Tuan Ibrahim tak payahlah nak bercakap pasal pengorbanan sebab kerana korban Umno jugalah akhirnya lebai-lebai Pas boleh merasa duduk di kerusi empuk, naik kereta mewah, ada jawatan dan gaji besar di Putrajaya.
Abdul Hadi sendiri pun berulang-ulang kali duduk meratib pasal kerjasama, perpaduan ummah dan MN tapi masih ragu-ragu nak tinggalkan PN. Kenyataannya itu pula disahut pula oleh ‘walaun-walaun’ Pas yang kononnya menyokong Pas teruskan kerjasama dengan Umno tapi jangan abaikan Bersatu.
Pas tunggang agama untuk politik duniawi
Maka mula lah keluar fatwa-fatwa versi Pas; seperti mana yang diucapkan oleh Mursyidul Am Pas beberapa hari lalu bahawa penyatuan ummah ini adalah perintah tuhan. Sebab itulah Pas, Bersatu dan Umno perlu kembali bersama membentuk gabungan atas nama kepentingan agama.
Apa yang saya hairan kenapakah perintah tuhan yang disebut oleh Mursyidul Am itu hanya libatkan tiga parti itu saja? Bukankah pemimpin dan ahli-ahli Amanah juga orang Islam? Bukankah orang-orang Melayu dalam PKR juga orang Islam? Kenapa mereka tak termasuk dan diajak bersatu atas nama dalil perintah tuhan yang Pas sebut itu?
Yang lagi menarik kata Mursyidul Am Pas itu lagi, kedua-dua parti itu hendaklah merujuk al-Quran dan sunnah bagi memastikan penyatuan ummah dikekalkan tanpa sebarang perpecahan yang merugikan Islam.
Wah bila kena atas puak dia, terus suruh rujuk al-Quran, tapi bila bab dia khianat Umno, dia main banyak pasangan dan mengamuk serta sokong Muhyiddin sebab nak kejar jawatan atau pangkat, tak ada pula ‘ularmak’ Pas ni keluarkan dalil al-Quran dan hadis.
Jadi timbul persoalan betul ke dalil itu atas nama penyatuan ummah atau Pas sekali lagi menunggang dan memanipulasi agama demi kepentingan politik mereka?
Demokrasi ala telur separuh masak Pas
Dalam sibuk-sibuk ‘Lebai Malang Hadi’ dan walaun-walaun dia duduk pukul canang pasal mahu teruskan MN, Ketua Pemuda Pas mengajak penyokong-penyokong PH di Pahang supaya sokong Pas pada PRU-15 nanti supaya dapat tumbangkan BN di negeri itu.
Wah besar sungguh nafsu ‘ustaz panggung wayang’ ni ya. Dia ingat senang-senang ke penyokong-penyokong PH terutamanya ahli Amanah nak sokong semula Pas selepas apa yang mereka buat kepada gabungan pakatan itu beberapa penggal lalu.
Ustaz pawagam ini yakin sangat nak tawan Pahang tanpa dia sedar sebenarnya kedudukan Pas di Terengganu dan Kedah pun sedang goyang. Jangan sampai jadi macam orang makan julap, tak sempat lari ke jamban dah tercirit di tengah jalan. Lebai Malang Hadi, yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.
Saya tertarik juga dengan ucapan perwakilan Pemuda Pas pada muktamar lepas bila dia membangkitkan persoalan kenapa pimpinan Pas hanya menghentam Umno dan kurang mengkritik Bersatu. Saya anggap persoalan itu memang munasabah untuk dibangkitkan sebab dalam Pas tergila-gilakan kerjasama bersama Umno dalam MN tapi Pas selalu serang Umno dan amat berlembut dengan Bersatu yang banyak kali mempermainkan Pas dalam PN.
Tapi Ustaz panggung wayang terus hentak dan marah dengan ucapan perwakilan Johor itu. Dia rupanya tak suka bila ada orang terutamanya ahli akar umbi Pas usik pasangan Bersatu nya. Dia terus melenting dan belasah terus pemuda dia sendiri.
Itulah gambaran sebenar demokrasi dalam Pas. Akar umbi atau perwakilan tak boleh bersuara dan berkongsi persoalan atau pandangan. Akar umbi kena jadi ahli walak totok dan ikut saja apa yang dibuat dan dicakap oleh pemimpin atasan.
Cuba berbeza dengan Umno yang mengamalkan demokrasi tulen yang meraikan sebarang perbezaan pendapat baik dalam kalangan pemimpin mahupun ahli akar umbi.
Jadi sebenarnya Pas kena sedar diri. Mereka bukan kuat macam zaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz memimpin parti itu. Era Pas sekarang yang dipimpin oleh Hadi memang haru biru, caca merba dan banyak ke laut.
Mereka bukan lagi ‘King Maker’ yang hebat tapi sudah jadi janda tak laku yang tengah melilau cari pasangan baru yang nak diperbodohkan.
Saya rasa episod MN sudah melarat dan melalut panjang sangat dah. Dah jadi macam sequel filem Lord of The Rings cuma mungkin sesuai ditukar tajuk kepada Lord of The PAS-T sebab sudah membosankan.
Berbeza dengan Lord The Rings yang orang tak kiralah siapa pun, orang biasa ke hatta orang Pas yang suka tengok filem di pawagam atau di Netflix, memang tertunggu-tunggu kemunculan setiap sequel barunya. Tapi bila episod Lord of The PAS-T ini, rakyat dan ahli akar umbi PAS sendiri dah jemu dengan sikap pemimpin mereka yang masih terhegeh-hegeh dalam isu MN.
Kalau dalam filem Lord of The Rings, Ketua dan Pahlawan mereka tunggung kuda, gajah dan burung helang ketika nak perang, tapi dalam Lord of The PAS-T, pemimpin mereka tunggang dalil Al-Quran dan tunggang dalil untuk menghalakan cita-cita politik mereka termasuk dalam isu MN ini.
Memang seperti yang banyak tulis sebelum ini, Pas dulu memang jauh berbeza dengan Pas sekarang. Sejak Hadi jadi Presiden Pas, parti itu jadi caca merba sebab para pemimpin mereka sibuk membodek dan kejar harta duniawi.
Saya percaya ahli akar umbi pun sekarang makin pening dengan sikap pemimpin atasan mereka dalam isu MN ni. Ya la, Umno dah ‘move on’ dan nak bertanding secara solo pada PRU-15 nanti, tapi Lord Hadi, Lord Hashim, Lord Ibrahim masih nak try lagi dengan MN. Sampai orang bawah tak tahu dah mana hala tuju Pas. Adakah hanya nak terus bersama PN saja atau masih nak kejar Umno dan MN.
Dah banyak kenyataan dan penegasan diberikan pemimpin Umno yang dah tutup pintu MN, tapi tak tahulah pemimpin Pas ni tak faham atau buat-buat tak faham. Atau mereka buat pekak badak saja!
Penulis ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor merangkap Ketua Umno Bahagian Pulai
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

