Ben Ibrahim
POLIS Pahang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di satu gudang berhampiran kawasan perindustrian Semambu, Kuantan, psemalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Razak Mohd Yusoff berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan sebuah lori yang mencurigakan pada jam 4.10 petang semalam.
Menurutnya, serbuan dilakukan selepas risikan kira-kira tujuh hari dilakukan di kawasan perindustrian itu dan pemeriksaan mendapati lori itu mempunyai tangki khas untuk menyimpan diesel bersubsidi dibeli di stesen minyak sekitar daerah berkenaan.
“Soal siasat dilakukan terhadap pemandu dan kelindan lori itu mendapati mereka tidak memiliki surat kebenaran untuk membeli diesel itu.
“Mereka kemudiannya membawa pasukan serbuan ke sebuah gudang di Semambu yang dijadikan lokasi pengumpulan semua diesel dibeli sindiket terbabit.
“Ketika serbuan di gudang itu, pihak kami berjaya menahan 14 lagi lelaki, termasuk seorang suspek yang mengaku pemilik gudang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abd Razak berkata, rampasan membabitkan minyak diesel sebanyak 19,400 liter dianggarkan bernilai RM41,710; 40 tangki segi empat bernilai RM60,000; tiga lori dianggarkan bernilai RM85,000 dan enam kereta yang bernilai kira-kira RM313,500.
“Kita juga merampas dua set penyedut minyak dan ‘flow meter’ bersama hos, satu unit genset dan 16 unit telefon bimbit pelbagai model.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM582,550 dan semua suspek berusia antara 18 hingga 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes ini akan disiasat oleh KPDNHEP mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Malaysiapost

