PAS temui kaedah terbaik tembusi kawasan bukan Islam

0
2

Najamuddin Mohd Nor

PAS telah mengenal pasti beberapa kaedah bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam.

Presidennya,Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata selain menjuarai setiap isu rakyat, beberapa kaedah boleh digunakan PAS bagi memikat hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“PAS akan terus membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, urus tadbir yang baik, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Muktamar PAS 2022, di Kota Sarang Semut, Kedah, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyeru kepada pengundi bukan Islam untuk memberikan keyakinan kepada PAS untuk membuktikan pendekatan Islam merentasi semua kaum dan agama.

“Kepada rakan-rakan bukan Islam, berilah peluang kepada PAS untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil dan lihatlah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa sendiri.

“Dalam hal ini, Islam mengajar kita bahawa manusia terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk walaupun berbagai kaum, agama dan bangsa,” katanya.

Justeru, Abdul Hadi menyeru jentera PAS melipat gandakan usaha bagi memastikan PAS mencipta kejayaan pada PRU15.

“Kita mesti memulakan langkah dalam usaha untuk memenangi hati rakyat secara seluruhnya.

“Antara perkara yang perlu kita fokuskan adalah memberikan khidmat kepada masyarakat secara lebih dekat untuk menarik seramai mungkin masyarakat supaya bersama.

“Kita juga mesti menguasai dan memanfaatkan teknologi maklumat terutamanya melalui media sosial supaya mesej sampai kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here