Ben Ibrahim
KEADAAN pasaran semasa sejak kebelakangan ini tidak menghalang aktiviti pengumpulan dana dalam pasaran domestik di Malaysia.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Wahid Omar, berkata sehingga Julai lalu, sejumlah RM6.3 bilion berjaya diperoleh melalui pasaran ekuiti.
“Ini bermakna aktiviti pengumpulan dana kekal teratur walaupun berdepan cabaran keadaan semasa pasaran.
“Pengembangan berterusan ini juga menyediakan peluang simpanan alternatif dan segmen pelaburan lebih luas, terutamanya kepada sektor peruncitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Karnival Saham Pahang di Kuantan, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Abdul Wahid berkata, selaras dengan perkembangan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, pasaran modal domestik perlu membabitkan lebih banyak penyertaan daripada sektor peruncitan.
“Ini adalah bagi menyokong pertumbuhan mampan dan jangka panjang selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan sehingga akhir tahun lalu, jumlah pasaran modal domestik bernilai RM1.79 trilion direkodkan atau 116 peratus daripada jumlah keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapan perasmiannya berharap lebih banyak sektor peruncitan di Pahang membabitkan diri dengan lebih aktif dalam pengumpulan dana bagi pasaran domestik.
Katanya, tahap kesedaran dalam kalangan penduduk negeri ini dalam sektor saham juga perlu ditingkatkan supaya mereka boleh mengambil peluang terbabit lebih aktif dalam pasaran saham dan pelaburan.
“Saya berharap penganjuran karnival ini dapat membantu dan memberi kesedaran awal kepada sebahagian rakyat Pahang, khususnya di daerah Kuantan dalam hal berkaitan pelaburan,” katanya. – Malaysiapost

