Kuetiew, bihun 50 sen abang bomba sado ‘laku keras’

0
1

TRAK makanan ‘Fire Kitchen Abang Bomba’ bertubuh sasa atau ‘sado’ menjadi tumpuan pengunjung di program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kedah bermula semalam, apabila menjual pelbagai juadah berasaskan mi pada harga semurah 50 sen.

Lebih menarik, anggota dan pegawai bomba bertubuh sasa atau ‘sado’ itu membantu melayani pelanggan yang sanggup berbaris panjang dalam keadaan hujan renyai untuk membeli juadah dan bergambar dengan mereka, lapor Berita Harian.

Seorang pengunjung, Aliah Ahmad, 34, dari Yan, berkata dia tertarik melihat ramai berbaris di trak makanan sebelum dimaklumkan harga menu di situ seperti mi, kuetiau dan bihun dijual anggota bomba pada harga 50 sen.

Katanya, teruja dengan harga sangat murah, dia bersama beberapa rakan sanggup beratur untuk membelinya dan rasanya pun sangat sedap.

Bagi Alias Mohd Noor, 42, pula bukan senang katanya nak menemui makanan dengan harga 50 sen ketika ini dan sebab itulah dia tidak melepaskan peluang untuk membelinya.

“Saya puas hati kerana ramuan dalam makanan itu agak padat dan rasanya sedap, malah tempoh beratur juga tidak terlalu lama walaupun panjang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Fire Kitchen Abang Bomba, Penolong Kanan Penguasa Shaharil Mohammad Hassan, berkata jualan membabitkan anggota dan pegawai jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor itu sebahagian daripada usaha kerja amal kepada orang ramai dengan menjual makanan pada harga murah.

Beliau berkata, semalam sahaja 40 kilogram mi termasuk kuetiau dan bihun habis dijual dengan anggaran 500 pinggan melalui dua sesi jualan pada pagi dan petang.

“Trak kami dibuka jam 10 pagi semalam, tetapi ditutup pada tengah hari untuk solat Jumaat. Sebaik dibuka semula jam 4 petang, orang ramai dah serbu menyebabkan mi habis hanya dalam tempoh kira-kira sejam lebih.

“Hari ini kami akan tambah lagi kira-kira 60 atau 70 kilogram untuk 700 pinggan bagi tetamu yang datang,” katanya.

Shaharil berkata, lapan kru dari sekitar Selangor bertugas di Fire Kitchen Abang Bomba dan simboliknya semua makanan ini dijual dengan harga 50 sen adalah lebih kepada hendak berkhidmat kepada masyarakat.

Katanya, disebabkan itu ia dijual dengan harga paling murah supaya semua orang dapat merasai makanan disediakan. – Malaysiapost

Kredit foto: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here