9 wanita warga asing ditahan dipercayai terbabit aktiviti tidak bermoral

0
1

Ben Ibrahim

POLIS daerah Bentong menahan sembilan wanita warga asing dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands, dekat Bentong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya melakukan serbuan itu selepas menerima laporan daripada orang awam dan risikan.

“Serbuan dilakukan jam 11.50 malam tadi (2 September) dan semua wanita itu berada dalam bilik karaoke sedang berhibur sambil minum minuman keras.

“Pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis ketamine seberat 2.25 gram dan serbuk berwarna kuning keemasan dipercayai syabu seberat 22.75 gram.

“Anggaran nilai rampasan RM750 dan ujian air kencing terhadap wanita berusia antara 25 hingga 36 tahun itu mendapati lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, sebentar tadi.

Zaiham turut berkata, pihak polis turut menemui sejumlah 16 keping kondom yang dipercayai digunakan bagi kegiatan tidak bermoral ketika pemeriksaan lanjut dalam bilik karaoke itu.

Katanya, semua wanita terbabit direman bermula hari ini hingga 16 September bagi siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (2), Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39B, Seksyen 59/63/15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here