KEMENTERIAN Sumber Manusia mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk menyiasat kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera oleh majikannya.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan menegaskan kerajaan tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa bukan sahaja didera tetapi tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak dia mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.
Katanya, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Selayang.
“Majikan yang disyaki adalah pasangan suami isteri di Batu Caves, Selangor.
“Kes seperti ini adalah insiden yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara, oleh itu, saya ingin mengingatkan para majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Saravanan berkata, kementeriannya tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan atau asing.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa.
“Mulai sekarang, KSM tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan.
“Saya percaya dengan usaha ini, para majikan akan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka,” katanya.
Terdahulu Astro Awani melaporkan seorang wanita warga Indonesia berusia 46 tahun bukan sahaja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka oleh majikannya.
Mangsa juga tidak dibayar gaji dan lebih buruk mangsa turut dikatakan disimbah air panas sehingga melecur teruk di belakang badannya selain berat badan menyusut sehingga 30 kilogram akibat kekurangan zat.
Perbuatan kejam itu terbongkar apabila mangsa yang tidak tahan dengan keseksaan itu akhirnya mengambil keputusan untuk lari dari rumah dan mendapatkan bantuan orang awam sebelum dibawa ke balai polis, kira-kira pukul 11 pagi Selasa lalu.
Susulan kes itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mendesak supaya majikan yang terlibat ditahan seterusnya dikenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada orang lain.
“Kita di Kedutaan dan kerajaan Indonesia akan memantau rapat kes ini agar perkara yang sama tidak terjadi kepada pembantu rumah yang lain,” katanya. – Malaysiapost

